Title: Islamic Banks vs Conventional Banks in Indonesia: An Analysis on Financial Performances
Authors: Raditya Sukmana, Nur Ahlina Febriyati
Abstract
Bank Islam di Indonesia telah wujud sejak dua puluh tahun yang lalu. Banyak perkembangan telah berlaku dalam negara Islam terbesar ini. Pembuat polisi, ahli akademik dan pengamal industri telah memberi sokongan yang padu untuk memastikan peningkatan pencapaian prestasi dalam perbankan Islam. Justeru, sekarang adalah masanya untuk menilai perbezaan prestasi di antara perbankan Islam dan perbankan konvensional. Artikel ini bertujuan untuk menerangkan, menilai dan membandingkan dengan kritikal perbezaan dalam prestasi kewangan bank Islam dan bank konvensional. Data berkaitan nisbah kecukupan modal (CAR), pulangan atas aset (ROA), kos/pendapatan operasi (BOPO), pinjaman tidak berbayar/ pembiayaan tidak berbayar (NPL), dan nisbah deposit pinjaman/ nisbah deposit pembiayaan bank Islam dan bank konvensional telah dikaji. Analisis kajian melibatkan data bulanan meliputi tempoh Januari 2004 hingga Julai 2014 (127 pemerhatian). Ujian t digunakan untuk melihat sama ada terdapat perbezaan yang signifikan dalam nisbah antara kedua-dua bank. Kajian ini mendapati CAR, ROA, BOPO dan NPL bank konvensional adalah signifikan lebih tinggi daripada bank Islam, tetapi tidak FDR. Berdasarkan keputusan kajian dalam kecukupan modal, dapatan mencadangkan bank Islam memerlukan lebih banyak modal untuk menghadapi risiko seperti bank konvensional. Bank konvensional pula perlu bertindak sebagai intermediari kewangan untuk menyokong sektor lain seperti mana bank Islam.
Kata kunci: Bank Islam; bank konvensional; prestasi kewangan
Sources: https://ejournal.ukm.my/pengurusan/article/view/9450